Semua warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan ikhlas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab dengan demi kepentingan rakyat.
Perkara itu disampaikan menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam majlis berbuka puasa bersama warga kementeriannya.
“Buatlah kerja dengan ikhlas dan amanah. Apa juga tugas kita, lakukan yang terbaik demi rakyat.
“Kerja yang kita buat ini bukan sekadar tugas harian, tetapi satu amanah besar yang perlu kita pikul bersama,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan warga kementerian untuk menggandakan usaha kerana tanggungjawab yang dipikul adalah besar.
“Bulan Ramadan ni lah masa untuk kita gandakan usaha. Tanggungjawab kita besar kerana kita berkhidmat untuk petani, penternak dan nelayan yang menjadi tulang belakang bekalan makanan negara,” katanya lagi .
Terdahulu beliau sempat meluangkan masa berbuka puasa bersama warga kementerian itu dan menyampaikan duit raya kepada anak-anak warga kementerianya.
Katanya, kesempatan duduk berbuka, berbual dan bertanya khabar mampu merapatkan lagi hubungan sesama warga kementerian
“Petang tadi Bang Mat sempat berbuka puasa bersama warga KPKM. Alhamdulillah, walaupun majlis ringkas saja, tapi cukup bermakna. Dapat duduk makan sama-sama, sembang sikit dan tanya khabar, hubungan sesama kita pun jadi makin rapat,” katanya. – MalaysiaMADANI
