Kerajaan MADANI memandang serius keperluan rakyat terutama menjelang hari lebaran dengan memastikan hari yang penuh kemeriahan tersebut dapat diraikan sebaiknya bersama ahli keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengumumkan beberapa langkah penting membantu meringankan beban rakyat sempena kehadiran Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, antara pengumuman penting itu membabitkan pengawalan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 5.2 juta penerima.
Selain itu kata beliau, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran, selain lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir di seluruh negara.
“Alhamdulillah ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebentar tadi, saya mengumumkan beberapa langkah Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan beban rakyat, khususnya menjelang Aidilfitri,” kata beliau dalam media sosialnya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan MADANI turut mengumumkan peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bagi membantu lebih 50,000 mahasiswa pulang ke kampung.
Tambah beliau lagi, beberapa langkah untuk mengawal harga barangan turut diperkukuh, terutama melalui Jualan Rahmah MADANI.
“Semoga ikhtiar ini sedikit sebanyak membantu rakyat dalam membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan gembira bersama keluarga serta insan tercinta, Insya-Allah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
