Berita, Siaran Media

Pembaharuan tatakelola kunci dividen TH tertinggi

Pengumuman dividen Tabung Haji (TH) yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan institusi berkenaan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembaharuan berkenaan adalah ikhtiar untuk  mengangkat kembali dan memartabatkan TH selaras dengan semangat asal penubuhannya.

“Alhamdulillah, pengumuman dividen Tabung Haji (TH) hari ini yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri.

Pencapaian ini mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan TH,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap pengumuman berkenaan boleh memperkukuh keyakinan penyimpan dan terus memelihari institusi berkenaan. 

“Semoga khabar baik ini menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi ini demi kepentingan bersama, Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31  Disember 2025 dan agihan itu melibatkan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara. – MalaysiaMADANI