Berita

Pelaburan negara cecah RM426.7 bilion pada 2025, meningkat 11 peratus

Malaysia terus mencapai pertumbuhan ekonomi baik dan sempurna apabila mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada tahun 2025, jumlah pelaburan negara mencecah RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, sebanyak 8,390 projek telah diluluskan, dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.

“Pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Pada masa sama, kata beliau, pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion.

Jelas beliau, pencapaian baik tersebut mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas serta hala tuju ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil ikhtiar bersepadu seluruh jentera Kerajaan MADANI bersama MITI dan MIDA dalam mempergiat usaha memastikan setiap pelaburan bukan sekadar diluluskan tetapi direalisasikan.

Menerusi pencapaian besar tersebut, Perdana Menteri berkata, ia mampu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kemakmuran buat rakyat.

Tegas beliau lagi, semua kejayaan itu bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang Kerjaan MADANI laksanakan.

“Kita akan terus bekerja keras memastikan seluruh rakyat merasai nikmatnya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI