Berita, Siaran Media

Media sosial laju, tapi media tradisional lebih dipercayai – Fahmi Fadzil

Tahap kepercayaan masyarakat terhadap media tradisional seperti televisyen, radio dan surat khabar masih kekal berada di kedudukan yang tinggi meskipun kebanyakan rakyat memperoleh maklumat awal melalui media sosial, tegas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Katanya maklumat berkenaan diperoleh hasil daripada kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati kira-kira 87 hingga 90 peratus rakyat di negara ini yang berusia antara 18 hingga 35 tahun mendapatkan maklumat pertama mengenai maklumat atau berita melalui platform seperti WhatsApp, diikuti TikTok dan Facebook.

“Namun, tahap kepercayaan terhadap maklumat daripada platform ini adalah rendah, sekitar 40 hingga 50 peratus sahaja.

“ Berbeza dengan televisyen, radio dan surat khabar, walaupun mereka jarang baca tapi bila mereka temui, dengar dan menonton sesuatu, tahap kepercayaan itu sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif Penyiaran Era Digital: Kewibawaan Media Dalam Landskap Baharu yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Tegas Fahmi, hasil dapatan berkenaan membuktikan masyarakat hari ini mudah mengakses maklumat melalui telefon pintar pada bila-bila masa dan di mana sahaja namun masih mempercayai kandungan media arus perdana.

Katanya situsi berkenaan menyebabkan media di negara ini berdepan cabaran yang semakin kompleks untuk menyesuaikan diri dengan perubahan kitaran berita khususnya dalam era penyebaran maklumat pantas.

“Jika dahulu, orang menunggu waktu tertentu seperti buletin utama pukul 8 malam untuk mendapatkan berita, kini ada ada news flash, maklumat boleh disebarkan pada bila-bila masa secara serta-merta,” katanya.

Bagaimananapun Fahmi menegaskan fenomena kandungan tular turut menambah tekanan kepada organisasi media dalam memastikan keseimbangan antara kepantasan dan ketepatan maklumat.

“Konsep tular ini antara yang paling digeruni media, jika kandungan tular itu positif tidak menjadi masalah namun jika sebaliknya, ia boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.

Justeru pematuhan dan etika kewartawanan  perbezaan nyata kepada organisasi media dalam menjalankan tanggungjawab dengan smepurna.

Etika kewartawanan menjadi perbezaan utama antara organisasi media dan kandungan yang dihasilkan oleh orang awam. – MalaysiaMADANI