Berita

Konflik Asia Barat, Malaysia laksana langkah bijak demi rakyat

Meskipun berhadapan kesan tidak langsung ekoran ketegangan berlaku di Asia Barat, namun kerajaan yakin tempuh dengan cekal terutama dalam usaha memberi yang terbaik kepada rakyat. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik yang semakin meruncing di Asia Barat telah mula menjejaskan ekonomi dunia melalui gangguan rantaian bekalan tenaga.

Selain itu menurut beliau, kesan lain yang mula dirasai adalah lonjakan harga minyak global yang mencetuskan ketidaktentuan pasaran.

“Sebagai negara perdagangan terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias perkembangan ini (konflik Asia Barat).

“Ini termasuk berdepan risiko kenaikan kos pengangkutan, tekanan terhadap harga barangan serta cabaran kepada kestabilan ekonomi,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Berhadapan situasi tidak menentu itu, kerajaan memilih untuk mengambil langkah sukar dengan mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter, meskipun harga minyak dunia meningkat.

Jelas beliau, tindakan bertanggungjawab yang dilaksanakan Kerajaan MADANI itu demi mempertahankan kepentingan rakyat.

Pada masa yang sama, tegas beliau, kerajaan turut melaksanakan langkah awal penjimatan dalam perbelanjaan negara termasuk membatalkan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh kementerian, agensi kerajaan dan GLC. 

Selain itu kata beliau lagi, kerajaan juga bertindak menghadkan lawatan luar negara oleh anggota pentadbiran.

“Kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan konflik ini dan mengambil langkah tambahan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terpelihara serta kebajikan rakyat terus dilindungi,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI