Malaysia akan memainkan peranan proaktif untuk menyumbang kepada penyelesaian konflik Asia Barat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara berkenaan dimaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas sidang khas yang diadakan semalam.
Katanya Malaysia kini sedang berhubung dengan rakan sejawat luar negara bagi membincangkan hal berkenaan.
“Perdana Menteri semalam telah mengadakan perbualan telefon dengan pemimpin-pemimpin New Zealand, Jepun, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).Malaysia mempunyai beberapa ciri penting untuk memainkan peranan ini.
“Sebagai contoh, kecuali Israel, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan kesemua pemain utama dalam isu ini; pendirian konsisten, berkecuali dan sikap berterus-terang juga membuat Malaysia dihormati,” katanya.
Pada mesyuarat MKN khas turut membincangkan isu-isu yang terkait termasuklah isu keselamatan seperti aktiviti agensi perisikan di Malaysia, pencegahan aktiviti penyeludupan bahan api dan juga keadaan pasukan pengaman Malaysia (MALBATT) yang kini bertugas di Lubnan.
MKN pada masa sama menambah, Malaysia juga menyambut baik perkembangan terkini yang menyaksikan semua pihak terbabit untuk menghentikan serangan selama lima hari.
Katanya tempoh jeda itu perlu digunakan untuk rundingan yang serius dan ikhlas, serta menyatakan perkembangan berkenaan telah menyebabkan penyusutan harga minyak antarabangsa antarabangsa.
Bagaimanapun katanya Malaysia harus terus bersiap sedia untuk menghadapi situasi konflik yang berpanjangan yang akan membawa implikasi ekonomi bukan hanya kepada Malaysia, tetapi dunia secara keseluruhannya.
“Kerajaan Malaysia akan mengambil pendekatan menyeluruh dan terselaras untuk menangani keadaan ini,” ujarnya. – MalaysiaMADANI
