Kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuh sistem makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi serta akses kepada rakyat sentiasa terjamin, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara berkenaan adalah tanggungjawab pihak kerajaan dan pasukan akan terus menjalankan amanah berkenaan.
“Ini tanggungjawab yang sedang dan akan terus kita laksanakan. Yang penting, kita sama-sama ambil peranan. Mulakan dengan apa yang ada.
“Insya-ALLAH, usaha kecil hari ini akan jadi kekuatan besar untuk masa depan,” katanya.
Terdahulu beliau menggesa rakyat di negara ini memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam sayuran sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Katanya, konflik geopolitik yang berlaku ketika ini bukan sekadar isu luar negara, sebaliknya ia turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.
“Walaupun impak tidak dirasai secara langsung, kesannya boleh sampai ke meja makan rakyat sekiranya gangguan terhadap rantaian bekalan berterusan.
“Sebab itu, Bang Mat hendak ajak semua, kalau ada ruang walaupun kecil di rumah, tanamlah apa yang mampu. Cili, sayur, ulam.
“Sedikit sebanyak boleh bantu kurangkan kebergantungan dan dalam masa sama jadi satu usaha yang bermanfaat untuk keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial peribadinya.
Disember lepas, meskipun padat dengan tugasan sebagai menteri tidak menghalang beliau membuktikan ruang tanah terhad bukan halangan untuk bercucuk tanam apabila berjaya memanfaatkan tanah di sekeliling rumah.
Menariknya belau berjaya mengusahakan tanaman mudah untuk kegunaan keluarganya seperti pandan dan ulam raja.
Beliau juga berkongsi pelbagai hasil tanaman di sekeliling kediaman yang dinikmatinya selepas kejayaan menternak ikan tilapia dan menanam bawang Rose Ehsan beberapa bulan sebelumnya. – MalaysiaMADANI
