Berita

Kerajaan beri perhatian industri kreatif, tingkat Ekonomi Biru negara

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Bilangan 1 Tahun 2026 meneliti dua kertas utama berkaitan Ekonomi Jingga (industri kreatif) dan Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai cabaran yang membelenggu industri kreatif negara.

Menurut beliau, antara cabaran melibatkan industri kreatif termasuk aspek tadbir urus, pembangunan bakat, infrastruktur, pembiayaan serta perlindungan harta intelek.

“Justeru, mesyuarat bersetuju keperluan menstruktur semula ekosistem industri ini agar lebih berdaya saing, mampan dan mampu menembusi pasaran global.

“Kementerian Komunikasi akan merangka Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang baharu bagi menggantikan DIKN 2009,” kata beliau menerusi laman media sosilanya.

Mengulas lanjut mengenai Ekonomi Biru, Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut menekankan kepentingan memanfaatkan sumber laut, kawasan pesisir dan perairan daratan secara bertanggungjawab.

Tegas beliau, perkara itu penting bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan kekal mampan, saksama dan berdaya tahan.

Menuju ke arah itu, beliau berkata, Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia akan diwujudkan bagi memacu pendekatan bersepadu.

“Ia bagi mengimbangi pembangunan ekonomi, kesaksamaan sosial serta kemampanan alam sekitar dalam ekosistem ekonomi biru negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI