Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 akan diumumkan pada 31 Mac ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut yang berlangsung di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah bermula jam 10 pagi pada tarikh berkenaan.
“Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mendaftar bagi mendapatkan keputusan peperiksaan,” katanya.
Mengulas lanjut, KPM turut memaklumkan pihak sekolah diminta memastikan proses penyerahan keputusan kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.
Selain itu, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian melalui pautan myresultspm.moe.gov.my bermula jam 10 pagi, 31 Mac hingga 6 petang, 6 April.
Katanya, semakan juga boleh dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan menghantarnya ke 15888 dalam tempoh yang sama.
Sistem berkenaan bakal diaktifkan bermula 10 pagi pada 31 Mac sehingga 6 petang, 6 April. – MalaysiaMADANI
