Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perlis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine menerusi tiga siri serbuan dilaksanakan dari 24 hingga 28 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi bersepadu hasil risikan rapi itu telah membawa kepada penahanan seramai empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun.
Dalam serbuan pertama di sekitar Wang Kelian dan Kaki Bukit, beliau berkata, pihak polis berjaya merampas sebanyak 20 guni mengandungi 500 paket plastik berisi dadah disyaki methamphetamine kira-kira 510 kilogram.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM25.5 juta dan dipercayai mampu merosakkan seramai 2.55 juta pengguna,” kata beliau.
Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak Ogos 2025 dengan peranan setiap ahli termasuk sebagai koordinator, transporter dan peninjau keselamatan.
Jelas beliau, modus operandi sindiket adalah mengambil bekalan dadah di kawasan hutan berhampiran Wang Kelian – Kaki Bukit yang diseludup masuk melalui laluan haram, sebelum dibawa ke lokasi transit sekitar Perlis untuk edaran tempatan.
Kata beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine, manakala suspek wanita negatif.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
