Berita

JIM laksana Ops Pantau, lebih 3,800 warga asing diperiksa

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan termasuk pada musim perayaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara terus terpelihara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM turut mengambil kira sensitiviti warga asing yang menyambut perayaan jauh dari keluarga dengan memastikan setiap pemeriksaan dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan profesional. 

Beliau berkata, pendekatan seumpama itu dijalankan dengan tujuan mengurangkan kegusaran serta ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di lokasi tumpuan awam.

“Bagi tempoh 20 hingga 24 Mac 2026, JIM telah melaksanakan 45 pemeriksaan dan pemantauan imigresen (Ops Pantau) di seluruh negara.

“Ia melibatkan sebanyak 3,826 pemeriksaan ke atas warga asing di lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan status serta dokumen perjalanan mereka adalah sah,” katanya dalam satu kenyataan. 

Kata beliau, pelaksanaan Ops Pantau dibuat secaraterancang bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan dengan teratur, terkawal serta berintegriti.

Menurutnya lagi, pegawai penguat kuasa di lapangan sentiasa diingatkan untuk mematuhi disiplin serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, di samping menghormati sensitiviti budaya dan norma setempat dalam setiap pelaksanaan tugas.

Tambah beliau, penguatkuasaan imigresen tidak tertakluk kepada musim tertentu memandangkan pelanggaran undang-undang boleh berlaku pada bila-bila masa. 

“Dari sudut taktikal, tempoh tertentu termasuk musim perayaan boleh menyokong keberkesanan pengesanan berdasarkan pola pergerakan serta tumpuan individu di lokasi tertentu. 

“Walau bagaimanapun, setiap tindakan dilaksanakan berasaskan risikan dan keperluan penguatkuasaan, bukan faktor masa semata-mata,” ujar beliau.

Tegas beliau, JIM komited untuk terus mengimbangi keperluan penguatkuasaan undang-undang dengan kepekaan terhadap norma serta keharmonian masyarakat. 

Jelas beliau, setiap tindakan dilaksanakan berlandaskan prinsip profesionalisme, integriti dan tanggungjawab dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.  -MalaysiaMADANI