Kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, langkah berkenaan dibuat berdasarkan keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM perlu peka situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.
“KPM mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, semua institusi pendidikan diminta untuk meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah-langkah bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka selepas tamat Cuti Penggal Pertama.
Selain itu, KPM juga memaklumkan antara langkah yang perlu diambil termasuklah penangguhan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius.
Selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas.
“Insititusi pendidikan perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
“Sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman, institusi pendidikan juga perlu membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman,” katanya.
Malah semua pihak diminta sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan dalam kalangan murid akibat cuaca panas. – MalaysiaMADANI
