Kira-kira 20,000 jawatan baharu bagi pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 akan dibuka secara perkhidmatan kontrak (CoS) di sekolah rendah bermula 2 petang ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam hebahan di laman rasmi itu memaklumkan, permohonan mula dibuka hari ini sehingga 20 Mac ini dan maklumat lanjut boleh dilayari https://mypdpp.moe.gov.my/pdpp26.
“Syarat permohonan ialah graduan bukan pendidikan, warganegara Malaysia dan memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM).
“Hanya calon yang layak akan dipanggil UKCG (ujian kelayakan calon guru) dan temu duga. Calon yang berjaya wajib mengikuti latihan perguruan di IPG (Institut Pendidikan Guru) dengan pembiayaan sendiri dalam tempoh kontrak,” katanya.
30 Januari lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, inisiatif pengambilan guru baharu ini dibuat sebagai sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Selain kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula pada tahun hadapan
“Proses pengambilan guru baharu ini mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Gerak kerja telah dijadualkan seperti hebahan pengambilan guru yang akan dilaksanakan pada 23 Februari, selain permohonan dibuka (2-20 Mac 2026) dan proses saringan temu duga pada 27 April-14 Mei,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di IPG dalam pelbagai bidang pengkhususan.
Inisiatif berkenaan tegas beliau adalah cerminan komitmen berterusan Kerajaan Madani bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.
Katanya lagi KPM juga sentiasa komited memastikan keperluan tenaga penga pengajar yang mencukupi serta meningkatkan mutu pendidikan negara.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan murid akan memasuki alam persekolahan darjah 1 pada usia enam tahun bermula tahun depan secara sukarela.
Sehingga kini, terdapat lebih 416,000 guru berkhidmat dalam sektor pendidikan awam dan KPM juga telah menempatkan seramai 52,948 guru baharu sejak tahun 2023 bagi mengisi kekosongan jawatan di seluruh negara. – MalaysiaMADANI
