Tindakan pantas berlandaskan saranan dan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) akan diambil pihak Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani risiko penularan penyakit tuberkulosis atau tibi di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pemantauan dan pengurusan kes dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah.
“Situasi semasa masih berada dalam keadaan terkawal hasil kerjasama erat antara KPM dan KKM pada peringkat pusat, negeri serta daerah.
“Setiap laporan berkaitan kesihatan ditangani dengan segera dan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Fadhlina berkata, semua pelaporan dibuat serta-merta mengikut garis panduan KKM bagi memastikan sebarang risiko dapat dikawal lebih awal dan tidak menjejaskan keselamatan warga sekolah.
Beliau menegaskan KPM mengamalkan pendekatan pencegahan dan kesiapsiagaan berterusan dalam pengurusan isu kesihatan di sekolah.
KKM memaklumkan jumlah keseluruhan 88 kluster Tibi telah dilaporkan di Malaysia melibatkan 254 kes Tibi dan memerlukan perhatian serius kerana berpotensi meningkatkan penularan dalam komuniti.
Setakat 7 Feb lepas, sebanyak 10 kluster Tibi masih aktif dilaporkan, membabitkan empat kluster di Selangor, selain masing-masing satu kluster di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah. – MalaysiaMADANI
