Berita

NCER catat pelaburan hampir RM79 bilion, wujud 23,000 peluang pekerjaan

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya mencatatkan pelaburan mencecah RM78.95 bilion serta mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan pada tahun lalu, kata Perdana Menteri.

Menerusi laman Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian tersebut dilaporkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-35, pagi tadi.

“NCER pada tahun lalu telah berjaya melahirkan 4,000 orang bakat tempatan yang menepati keperluan pelabur dan industri menerusi program di bawah kendalian Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC),” katanya.

Mesyuarat kali ini kata Anwar turut membincangkan perancangan bagi tahun ini  dan tahun mendatang dengan fokus memantapkan peranan dalam mempercepatkan realisasi pelaburan berkualiti tinggi di wilayah utara.

“Ia  termasuk beberapa pelaburan berpotensi terkait Kedah Rubber City (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis.

“Turut diteliti adalah inisiatif meluaskan impak pembangunan ekosistem pelaburan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan kajian meningkatkan semula daya saing pelancongan di Pulau Langkawi,” katanya. – MalaysiaMADANI