Jawatankuasa Khas Siasatan menyiasat isu berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah bersidang pada 19 Februari lalu.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, jawatankuasa tersebut telah memanggil Azam untuk memberi keterangan berkaitan dengan pemilikan saham.
Beliau berkata, saham tersebut berjumlah 17.7 juta dengan harga belian sebanyak RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.
“Berdasarkan kepada laporan awal yang diterima, jawatankuasa sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham tersebut oleh Tan Sri Azam Baki,” kata beliau menerusi satu kenyataan.
Kata beliau, jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap isu ini.
Tegas beliau, jawatankuasa memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan professional.
Tambah beliau lagi, hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan diangkat kepada pihak berkuasa.
“Ini termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
