Berita

Ant Group kembang, perkukuh perkongsian kepakaran bersama syarikat tempatan

Prestasi ekonomi Malaysia yang mencatat perkembangan baik bukan sahaja berjaya menarik minat pelabur luar untuk terus kekal malah melebarkan rangkaian perniagaan di negara ini pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Ant International, Peng Yang dan delegasi syarikat dari China itu pada petang Isnin.

Beliau berkata, sesi pertemuan dan perbincangan itu merangkumi tahap kemajuan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, selain bidang-bidang seperti pelancongan, perdagangan, teknologi dan bakat bagi syarikat tersebut. 

“Ant Group yang bermula dengan perkhidmatan AliPay pada tahun 2004 merupakan sebuah syarikat multinasional berpangkalan di China dan menjalankan perniagaan di Malaysia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Menurut beliau, Ant International yang beribu pejabat di Singapura adalah unit perniagaan antarabangsa di bawah Ant Group dan Khazanah Nasional Berhad merupakan pelabur utama serta rakan kongsi bagi Alibaba Group & Ant Group.

Sehubungan itu beliau berkata, Malaysia sangat mengalu-alukan pengembangan perniagaan dan pengukuhan perkongsian Ant International dengan syarikat-syarikat Malaysia.

Tambah beliau lagi, jalinan kerjasama itu mampu mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membina keupayaan dalam meningkatkan tahap ekonomi digital negara. -MalaysiaMADANI