Janji ditunaikan. Bermula hari ini, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 dimasukkan kepada penerima yang layak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seperti diumumkan dalam perutusan Tahun Baharu 2026, proses pembayaran STR dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, seramai lima juta penerima mendapat manfaat daripada pemberian STR itu, ia meliputi 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.
Menurut beliau, kesemua penerima akan memperoleh antara RM100 dan RM500, mengikut kelayakan masing-masing.
“Penambahbaikan kepada STR, yang kini disepadukan dengan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Ia memastikan golongan berkelayakan menerima bantuan yang lebih konsisten dan berkesinambungan dalam memenuhi keperluan asas,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, STR disediakan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan untuk memberi ruang kewangan pada waktu puncak seperti musim perayaan, manakala SARA berfungsi sebagai sokongan asas bulanan yang stabil.
Kata beliau, Kerajaan MADANI giat memastikan setiap rakyat dapat hidup bermaruah, tanpa ada yang terpinggir dalam mengharungi tekanan kos sara hidup.
“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
