Berita

Sejarah sebagai sumber hikmah, kekuatan masyarakat majmuk Malaysia

Bukan sekadar menonjolkan keindahan destinasi, Galeri Arkeologi Guar Kepah, Pulau Pinang mempunyai sejarah tersendiri yang menarik untuk diketahui dan diteladani masyarakat umum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peluncuran galeri tersebut hadir pada saat signifikan dan seiring dengan semangat Tahun Melawat Malaysia 2026, selain berjaya mengetengahkan kedalaman sejarah serta tamadun yang membentuk wajah negara.

Beliau berkata, melangkaui fungsi sebagai sebuah tempat pameran, galeri itu mampu menzahirkan pernyataan jati diri dan kesedaran peradaban sebagai negara yang berwibawa membina masa depan dengan memaknai sejarah sebagai sumber hikmah serta kekuatan.

“Sejarah bukan sekadar tinggalan silam, tetapi cerminan jiwa dan perjalanan peradaban bangsa. 

“Tapak prasejarah seperti Guar Kepah mengingatkan kita bahawa akar tamadun telah lama bertapak dan menjadi amanah generasi hari ini untuk memelihara serta memaknainya sebagai pedoman masa depan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Berlandaskan kesedaran besar itu, menurut beliau, Kerajaan MADANI memastikan subjek Sejarah dimartabatkan sebagai mata pelajaran wajib dalam sistem pendidikan negara. 

Tegas beliau, ia bertujuan melahirkan generasi yang bukan sekadar menghafal fakta, tetapi membina warga yang memahami perjalanan bangsanya, seterusnya menghargai pengorbanan terdahulu serta memiliki jati diri yang kukuh, berfikiran kritis dan beradab dalam mendepani cabaran zaman.

Kata beliau lagi, usaha pemuliharaan warisan bukan sahaja memelihara peninggalan sejarah, malah membuka ruang baharu kepada pembangunan ilmu, penyelidikan serta pelancongan berkualiti.

Jelas beliau, semua ciri yang ada tersebut mampu meletakkan Malaysia dengan penuh yakin dalam peta pelancongan sejarah dunia.

“Inilah ikhtiar membina kemajuan yang berteraskan ilmu, budaya dan jati diri selari dengan kerangka Malaysia MADANI, yakni membangun dengan akar peradaban yang kukuh dan melangkah ke depan dengan kesedaran sejarah serta kebijaksanaan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI