Uncategorized

RM282.2 bilion pelaburan asing berjaya direalisasikan sejak tahun 2022

Pelaburan asing bernilai RM282.2 bilion berjaya direalisasikan sejak tahun 2022 hingga September 2025, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Jumlah tersebut katanya merangkumi 71 peratus atau 966 projek yang telah diluluskan.

“dari keseluruhan ebanyak 1,361 projek adalah pemilikan asing dalam sektor perkilangan di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Manakala jumlah pelaburan asing yang telah diluluskan bernilai RM357.1 bilion dan dijangka menjana sebanyak 185,044 peluang pekerjaan baharu,” katanya  dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Mengulas lanjut, sebanyak 356 projek perkilangan atau 26.2 peratus masih di peringkat perancangan dan melibatkan proses pemilihan lokasi serta perbincangan bersama pihak pemaju dan perunding.

Projek berkenaan jelas beliau melibatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM60.1 bilion dan dijangka menjana sebanyak 39,121 peluang pekerjaan baharu apabila direalisasikan kelak.

Dalam pada itu, Johari berkata, daripada 966 projek perkilangan yang berjaya direalisasikan, kerajaan juga berjaya menyediakan  141,470 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Malah,  daripada jumlah berkenaan sebanyak 7,856 pekerjaan menawarkan gaji melebihi RM10,000 manakala 21,550 pekerjaan adalah dengan gaji antara RM5,000 hingga RM10,000. – MalaysiaMADANI