Satu hala tuju jelas dan pelbagai inisiatif akan digerakkan Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini bagi pembangunan Malaysia mampan serta kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha reformasi kekal menjadi tunjang untuk membina semula institusi negara dan memastikan pimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat.
Beliau berkata, antara reformasi utama yang akan dilaksanakan ialah pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
“Langkah-langkah ini penting bagi mengukuhkan asas negara hukum yang lebih telus dan berintegriti,” kata beliau dalam media sosialnya.
Kata beliau, Kerajaan MADANI juga akan meneruskan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi dan mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam.
Selain itu menurut beliau, pelaksanaan projek-projek rakyat seperti membaiki sekolah dan klinik daif akan disegerakan, menutup jalan berlubang serta menambah lampu jalan.
Dalam masa yang sama tegas beliau, kebajikan rakyat akan terus kekal sebagai teras pentadbiran MADANI.
Tambah beliau, bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta inisiatif pendidikan dan kesihatan dilaksanakan bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi kembali kepada rakyat.
“Kesemua langkah ini saling melengkapi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, memperkukuh keyakinan pelabur dan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat.
“Semoga usaha reformasi dan inisiatif untuk rakyat ini mengukuhkan usaha kita untuk menjamin masa depan Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
