Berita, Siaran Media

PM ucap selamat kembali ke sekolah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar khususnya murid Tahun 1 sempena pembukaan sesi persekolahan baharu 2026.

Perkara berkenaan dimuat naik di Facebook, sambil mengingatkan ibu bapa untuk mengiringi perjalanan pendidikan anak masing-masing dengan doa dan teladan yang baik.

“Selamat kembali ke sekolah buat anak-anak, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan bersama cita-cita dan harapan.

“Buat ibu bapa, iringlah perjalanan anak-anak dengan doa dan teladan yang baik. 

“Semoga setiap ilmu dan nilai yang dipelajari membentuk mereka menjadi insan berakhlak, berilmu dan menyumbang kepada masa depan negara. Insya-Allah,” katanya.

Sesi persekolahan bagi negeri-negeri Kumpulan B seperti di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula hari ini.

 Manakala di negeri-negeri bagi Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula  sejak semalam selepas cuti hampir tiga minggu. – MalaysiaMADANI