Setiap permohonan pemastautin tetap (PR) dan permohonan kewarganegaraan Malaysia diproses secara telus, teratur dan berpandukan kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan memaklumkan, semakan silang secara bersepadu antara agensi turut dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk yang dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak.
“Sehingga 31 Disember lalu, seramai 261,156 pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) direkodkan di seluruh negara.
“Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia merupakan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan keselamatan, kedaulatan negara serta kesejahteraan warganegara,”katanya.
JPN menegaskan keputusan permohonan adalah tertakluk kepada Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala, dan setiap permohonan akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon.
Namun status dan kad pengenalan MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegang didapati terlibat dalam apa-apa kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara.
“Bagi penganugerahan kewarganegaraan kepada individu bertaraf bukan warganegara, JPN menjelaskan bahawa ia merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak diberikan sewenang-wenangnya,” ujarnya
Malah, setiap permohonan kewarganegaraan diproses dan diteliti berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.
“KDN dan JPN sentiasa peka dan menjalankan proses sebaik-baiknya dalam perkara ini kerana setiap permohonan akan diteliti mengikut giliran yang sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.
“Dalam hal ehwal kewarganegaraan, pertimbangan terhadap mana-mana permohonan adalah berdasarkan kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa, termasuk isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaMADANI
