Berita

Peranan asatizah hospital bukan sekadar pembimbing ibadah – Menteri Kesihatan

Kementerian Kesihatan komited memastikan peranan asatizah hospital diiktiraf sebagai rakan strategik dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan ekosistem penjagaan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu penting bagi memperkukuh peranan sokongan kerohanian dalam sistem penjagaan kesihatan negara .

“Peranan asatizah hospital bukan sekadar pembimbing ibadah, tetapi rakan strategik yang menyumbang kepada kesejahteraan pesakit, keluarga serta warga kerja kesihatan.

“Aspek kerohanian dan sensitiviti agama merupakan elemen penting yang tidak boleh dipisahkan daripada ekosistem kesihatan moden,” katanya.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyerahan Resolusi Simposium Asatizah Hospital di Bangi, Selangor, semalam.

Justeru, beliau menjelaskan pengukuhan kompetensi serta tahap profesionalisme asatizah hospital perlu diberi perhatian serius agar peranan mereka lebih tersusun dan berimpak.

Simposium Asatizah Hospital 2026 yang julung kali dianjurkan di peringkat nasional itu berjaya menghimpunkan asatizah hospital, petugas kesihatan, penyelidik serta pakar rujuk dari pelbagai institusi kesihatan awam dan swasta.

Simposium bertemakan “Mengoptimum Potensi, Mempertingkat Kualiti” merupakan  platform pembentangan dan penyerahan Resolusi Simposium Asatizah Hospital, yang mencerminkan suara kolektif para pengamal lapangan dalam usaha memperkasa pengiktirafan, skop kerja dan hala tuju kerjaya asatizah hospital di Malaysia.

Simposium berkenaan turut menyaksikan pelancaran buku ‘Kompilasi Tanyalah Asatizah An-Nur’ yang menghimpunkan panduan dan rujukan berkaitan isu ibadah, etika dan kerohanian dalam konteks hospital.

Turut hadir Mohd Husni Abd Shukor, Ketua Pegawai Eksekutif, Annur Integrated Healthcare Group dan Prof. Dr. Abdul Rashid Abdul Rahman, Ahli Majlis Penasihat Syariah dan Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Pakar An-Nur. – MalaysiaMADANI