Berita

Penggiat filem negara dihargai, bincang perkembangan dan hala tuju

Kerajaan memandang tinggi sumbangan industri perfileman yang berusaha mendidik masyarakat dan mengangkat martabat negara.

Menyedari kepentingan dan sumbangan besar industri perfileman negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu serta membincangkan hal berkaitan dalam sektor tersebut. 

Terbaru, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif Skop Productions, Datuk Yusof Haslam yang merupakan seorang pengarah dan penerbit tersohor negara.

Pertemuan itu membincangkan perkembangan dan hala tuju industri perfileman tempatan.

“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai cabaran dan potensi industri kreatif.

“Ia juga termasuk isu cukai hiburan yang dibangkitkan, yang akan diteliti dan dibincangkan lanjut bersama kerajaan negeri,” katanya dalam media sosial.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap karya filem Sheriff: Narko Integriti.

Menerusi filem itu, kata beliau, ia menyentuh isu rasuah dan integriti, serta menghargai sokongan penggiat seni terhadap usaha kerajaan menjunjung keterbukaan dan kebebasan bersuara.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebebasan berkarya dipelihara agar penggiat seni dapat menghasilkan karya yang lebih berani, berkualiti dan bermakna untuk masyarakat dan negara. -MalaysiaMADANI