Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia merealisasikan kerjasama strategik antara antara Malaysia dan Ethiopia terutamanya dalam bidang kesihatan.
Perkara itu dinyatakan Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika menerima kunjungan hormat daripada Professor Fekadu Beyene Aleka, Duta Besar Republik Ethiopia ke Malaysia di pejabatnya semalam.
“Pertemuan ini dilakukan bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara Malaysia dan Ethiopia terutamanya sebagai susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kesihatan semasa Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Ethiopia pada 19 November lalu.
“Ethiopia juga menyatakan komitmen tinggi terhadap pelaksanaan MoU tersebut dan berharap agar inisiatif yang dirancang dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pertemuan bersejarah itu, kedua-dua pihak juga turut memperincikan skop kerjasama selain menjadi platform bagi kedua-dua pihak berkongsi maklumat mengenai sistem kesihatan di Ethiopia yang kini sedang melalui fasa transformasi penting.
Dr Dzulkefly berkata, pertemuan penuh sejarah itu turut mencerminkan komitmen jitu Malaysia dalam memperkasakan diplomasi kesihatan di peringkat antarabangsa, khususnya dalam menjalin kerjasama erat dengan negara-negara di benua Afrika demi mencapai matlamat kelestarian kesihatan sejagat. – MalaysiaMADANI
