Berita, Siaran Media

KUSKOP dan KDN bekerjasama tangani salah guna visa lawatan sosial

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mengambil tindakan terhadap isu penyalahgunaan visa lawatan sosial yang digunakan warga asing untuk bekerja dan berniaga secara haram.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong memaklumkan, langkah berkenaan penting demi melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan selain memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing. 

“Malaysia mengalukan kehadiran pelancong dan pelabur ke negara ini namun undnag-undang serta peraturan negara mesti dipatuhi semua pihak tanpa pengecualian

“Kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas berikutan aduan daripada peniaga -peniaga tempatan.

“Ini termasuk memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti bekerja dan berniaga tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Terdahulu, jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat untuk bekerja di Malaysia akan dikenakan tindakan susulan.

Menteri Komunikasi itu berkata, langkah berkenaan akan dilakukan dengan pemantauan dilaksanakan oleh KDN.

KDN dilaporkan menyatakan komitmen untuk memperkukuh kawalan sempadan dan membanteras penyalahgunaan kemudahan imigresen menerusi pendekatan menyeluruh di tiga peringkat iaitu sebelum ketibaan, di pintu masuk dan dalam negara.

Langkah itu bagi memberi tumpuan khusus kepada isu pelawat asing yang menyalahgunakan pas lawatan untuk bekerja atau berniaga secara tidak sah di Malaysia. – MalaysiaMADANI