Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan HELP University melaksanakan pemeriksaan keselamatan segera dan menyeluruh ke atas semua kemudahan kampus susulan insiden letupan semasa kerja penyelenggaraan sistem penyaman udara di kampus berkenaan.
KPT dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius insiden letupan di kampus berkenaan sehingga mengorbankan seorang individu dan mencederakan sembilan yang lain, termasuk empat pelajar.
“Komitmen berterusan ini penting untuk memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan warga di semua institusi pendidikan tinggi sentiasa terjamin melalui pematuhan standard keselamatan, penyelenggaraan berkala dan kerjasama dengan agensi berkaitan.
“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut dan sebarang maklumat terkini berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak universiti juga diminta untuk menyediakan sokongan kebajikan termasuk perubatan dan psikososial kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Pada masa sama, KPT akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang juga pekerja syarikat kontraktor disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala sembilan lagi mangsa dilaporkan cedera.
Beliau berkata letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti swasta berkenaan. – MalaysiaMADANI
