Kesan rasuah terlalu besar dan boleh mengancam keselamatan negara sekiranya amalan buruk itu merebak ke dalam institusi penting seperti agensi pertahanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan rasuah bukan sekadar merosakkan tadbir urus kerajaan, malah berupaya menghancurkan sistem pertahanan negara serta mengkhianati amanah rakyat yang telah diberikan.
Beliau berkata, suatu yang amat sukar bagi kerajaan dan Kementerian Pertahanan untuk merangka dasar pertahanan serta perolehan terbaik sekiranya setiap inisiatif yang menyentuh kepentingan rakyat dan keselamatan negara dipengaruhi oleh kepentingan peribadi serta dorongan komisen.
“Hakikatnya, industri pertahanan merupakan antara sektor yang paling terdedah kepada amalan songlap dan cekau sekiranya tidak dikawal oleh sistem tadbir urus yang ketat, telus dan berintegriti,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri menyampaikan ucapan pada majlis peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengulas mengenai DIPN, Perdana Menteri menegaskan bahawa ia bukan sahaja bertujuan membina keupayaan industri, malah memberi harapan baharu kepada negara.
Kata beliau, pelaksanaan dasar tersebut perlu berteraskan integriti serta amalan tadbir urus yang baik, khususnya dalam menangani isu rasuah dan penyelewengan.
Jelas beliau, ia bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dan keyakinan rakyat dapat dikekalkan. -MalaysiaMADANI
