Kerajaan mengumumkan kerja-kerja pembinaan semula Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak, Pahang kembali beroperasi setelah tertangguh lebih tiga bulan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah meninjau dan melihat sendiri kemajuan pembinaan semula pusat tersebut yang sebelum ini lewat daripada jadual.
Beliau berkata, projek berkenaan mengalami kelewatan selama hampir 100 hari akibat beberapa isu.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan perkara tersebut telah diselesaikan dan pelaksanaan kini kembali berjalan lancar, dengan kemajuan menghampiri 92 peratus,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Sehubungan itu, menurut beliau, semua pejabat daerah, agensi dan kontraktor diminta untuk segera menyelesaikan sebarang permasalahan supaya projek bernilai jutaan ringgit seperti itu tidak tertangguh begitu lama.
Tegas beliau, setiap hari kelewatan bererti rakyat dinafikan kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya dinikmati dengan baik.
Tambah beliau, pemantauan rapi perlu dilaksanakan bagi memastikan PUSPEN Karak yang berkapasiti 500 penghuni itu siap sepenuhnya menjelang 30 April ini supaya kemudahan terbabit dapat segera dimanfaatkan.
“Matlamat kita bukan hanya menyiapkan projek, tetapi memastikan proses pemulihan ini dapat membantu mereka bangkit semula dan kembali membina kehidupan yang lebih bermakna,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
