Kejayaan penganjuran kepengerusian ASEAN- Malaysia 2025 adalah bukti kesepakatan kerja dalam pasukan dan perpaduan semua pihak merentasi kaum, agama dan kementerian.
Perkara berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Semua pihak yang bertugas termasuk pasukan keselamatan, penjawat awam dan petugas pembersihan telah berusaha bertungkus lumus mengangkat nama baik Malaysia di mata dunia.
“Bermula daripada tukang cuci hingga seni kebudayaan yang dipersembahkan sepanjang Persidangan ASEAN 2025 mempesona. PDRM (Polis Diraja Malaysia) menunjukkan prestasi luar biasa mengendali tanpa satu insiden yang mengganggu kita, “ katanya.
Memetik laporan Awani, beliau menzahirkan kekaguman semua pihak yang memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan acara negara yang berprestij.
“Yang saya nak nyatakan adalah, tugas memang berat tapi saya rasa ringan sekali (kerana) bila lihat selesai taklimat 11.30 malam, 12 tengah malam tercegat lagi pasukan keselamatan, pegawai-pegawai dari Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Begitu juga semua kementerian lain, tak kira masa, tak ada nampak lelah dan letih kerana semua berkhidmat kerana Allah untuk mengangkat Malaysia di persada dunia,” katanya.
Katanya kejayaan ASEAN juga adalah bukti keupayaan negara menghimpunkan kesepakatan negara anggota serta rakan luar ASEAN walaupun di sebalik ketidaktentuan geopolitik global.
Kejayaan itu katanya dizahirkan termasuk pencapaian signifikan melalui pelbagai hasil rundingan dan kesepakatan yang dicapai sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia.
Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan Jemaah Menteri lain. – MalaysiaMADANI
