Berita

Berilmu dan berakhlak, Kerajaan MADANI terus perkasa pendidikan negara

Menghasilkan generasi berilmu dan berakhlak, Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 dibentuk bagi memastikan tahap pendidikan negara terus mencapai kecemerlangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendidikan bukan semata-mata soal pencapaian akademik atau kecemerlangan teknikal, ia adalah usaha besar membentuk insan yang berakal, beradab dan berjiwa kemanusiaan.

Beliau berkata, Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 mencerminkan ikhtiar serius Kerajaan MADANI untuk melakukan lonjakan bermakna dalam landskap pendidikan negara. 

Bagaimanapun tegas beliau, lonjakan tersebut perlu berakar kukuh pada jati diri, nilai dan budaya Malaysia, selain berani menguasai disiplin serta cabaran baharu yang dituntut oleh zaman yang pantas berubah.

“Bahasa Melayu wajib terus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, pemikiran dan wahana perpaduan nasional. 

“Pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris perlu diperkasa agar anak-anak kita berkeyakinan, berdaya saing dan mampu berperanan secara bermakna di pentas antarabangsa,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Komitmen terhadap pendidikan percuma, Perdana Menteri berkata, akses yang lebih adil serta perluasan peluang pembelajaran akan terus diperkukuh, demi memastikan tiada anak bangsa yang tercicir hanya kerana latar belakang atau kekangan sosioekonomi.

Namun dalam masa sama kata beliau, pelan yang baik tidak diukur pada keindahan dokumen atau kehebatan pidato, sebaliknya terletak pada keberanian untuk melaksanakannya dengan tekad yang kental, disiplin tinggi serta integriti yang tidak boleh ditawar. 

“Inilah amanah besar yang mesti kita pikul secara bersama. Insya-Allah, melalui pendidikan yang berteraskan karamah insaniah, kita akan melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, seterusnya membina Malaysia MADANI yang adil, progresif dan benar-benar berperikemanusiaan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI