Berita

Amaran keras diberi, berubah atau berhenti

Penguat kuasa yang masih berani mencemar integriti serta tidak menjalankan tugas sepenuhnya diberi amaran keras dan dinasihat meninggalkan pasukan uniform disertai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amaran dan teguran keras telah diberikan kepada pihak penguat kuasa agar segala kelompongan serta kelemahan yang mencemarkan integriti penguatkuasaan segera dibetulkan tanpa berlengah.

Beliau berkata, sekiranya amanah yang dipikul dirasakan terlalu berat atau godaan serta tekanan luar menimbulkan keraguan untuk bertindak tegas dan berprinsip, individu terlibat perlu berterus terang.

“Berilah laluan kepada individu lain yang lebih bersedia, berani dan berintegriti untuk memikul tanggungjawab ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, jawatan yang disandang bukan perhiasan atau keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keberanian membuat keputusan yang benar walaupun tidak popular dan sarat dengan risiko.

Tegas beliau, isu penyeludupan, rasuah serta kegiatan gelap tidak boleh sama sekali dinormalisasikan.

Jelas beliau, semua kegiatan tidak bermaruah seumpama itu berlaku kerana kelonggaran penguatkuasaan oleh mereka yang telah diberikan amanah untuk menguatkuasakan undang-undang. 

Menurutnya lagi, perbuatan tidak bermaruah tersebut adalah satu pengkhianatan besar terhadap negara dan rakyat.

Untuk itu kata beliau, tiada lagi ruang untuk mereka yang bersikap sambil lewa, kompromi murahan atau tolak ansur terhadap sebarang bentuk pengkhianatan amanah. 

“Tindakan tegas mesti diambil tanpa memilih bulu. Rakyat menuntut pembaharuan yang nyata, bukan retorik kosong. 

“Justeru, setiap agensi penguatkuasaan wajib membuktikan perubahan melalui tindakan, disiplin dan ketelusan, serta bekerja sebagai satu pasukan demi memulihkan maruah institusi, bangsa dan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI