Berita

Tumpas sindiket antarabangsa, JSJN rampas dadah 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion

Kesungguhan kerajaan dalam menangani penyalahgunaan najis dadah dalam kalangan masyarakat terus dipertingkat terutama dalam menyerbu dan menumpaskan kumpulan sindiket.

Tekad pembasmian secara berterusan itu tidak akan dicapai tanpa kerjasama erat antara masyarakat dan pihak berkuasa yang giat menjalankan operasi secara agresif.

Pencapaian besar terbaru yang dicapai adalah kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan sindiket dadah antarabangsa menerusi Op Gaharu 2.0 di sekitar Lembah Klang.   

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan ini,” kata kementerian itu menerusi media sosial rasminya.

Kata kenyataan itu, serbuan yang dijalankan pada 21 Disember 2025 berjaya merampas dadah seberat 6.2 tan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.04 bilion.

Menurutnya lagi, rampasan terbesar membabitkan sindiket antarabangsa tersebut melibatkan dadah jenis MDMA, kokain dan ketamin. 

Kenyataan itu berkata, rampasan itu dianggarkan mampu menyelamatkan sehingga 20.7 juta pengguna daripada ancaman penyalahgunaan dadah.

Tegasnya, kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan KDN dan PDRM dalam memperkukuh agenda #WarAgainstDrugs.

“KDN akan terus bekerja keras membanteras jenayah terancang rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Dadah musuh negara. Keselamatan rakyat keutamaan kami,” kata kenyataan itu. -MalaysiaMADANI