Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas mandat baharu pembentukan Kerajaan Negeri.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas yang telah dilontarkan para pengundi Negeri Di Bawah Bayu menuntut perubahan nyata.
Jelas beliau, rakyat Sabah sekian lama telah dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti, samada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri.
“Alhamdulillah, dalam tiga tahun yang lalu, kami berusaha merungkai setiap isu yang diwarisi, termasuk soal tuntutan dan hak yang menyentuh kepentingan Sabah,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan yang nyata telah dicapai berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus konsisten di jalur pembaharuan, sebagai usaha dan upaya melahirkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
“Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
