Berita

Reformasi kesihatan: KKM laksana pelbagai inisiatif strategik

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited memperkukuh agenda kesihatan nasional melalui pelbagai inisiatif strategik berpaksikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian sistem penjagaan kesihatan.

Sepanjang tempoh dua tahun ini, KKM telah berjaya mencapai kejayaan dengan melaksanakan reformasi dalam sektor kesihatan negara dalam beberapa teras utama.

Kementerian itu berkata, pelaksanaan reformasi itu membabitkan satu individu satu rekod yang dilaksanakan di bawah Pendigitalan Kesihatan, Transformasi Sistem Kesihatan: Inisiatif RESET 2025–2027, pemerkasaan perkhidmatan dan kebajikan modal insan.

“Di bawah kepimpinan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pelbagai pelaksanaan reformasi kesihatan dilaksanakan termasuk kesihatan mental dan literasi kesihatan, kesejahteraan nutrisi dan komuniti serta kepimpinan di pentas global.

“Selain itu, reformasi kesihatan juga dilakukan bagi memperkasakan perundangan dan kawal selia, pengukuhan pencegahan dan perlindungan rakyat serta akses perkhidmatan dan kolaborasi komuniti,” kata kenyataan itu menerusi media sosial rasminya.

Tegas kenyataan itu, KKM komited dalam memastikan setiap rakyat mendapat akses kesihatan yang adil dan berkualiti tinggi. 

Jelasnya, segala usaha transformasi itu dirangka bagi membina masa depan Malaysia yang lebih sihat, berdaya saing dan sejahtera. -MalaysiaMADANI