Berita

QV-E Perodua bukti kemampuan besar anak tempatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia menerusi kejayaan syarikat anak tempatan menghasilkan kenderaan elektrik (EV) pertama negara.

Beliau berkata, EV pertama negara yang dikenali sebagai QV-E oleh Perodua itu hasil daripada kepintaran, disiplin, kegigihan serta keyakinan para jurutera, saintis dan tenaga mahir tempatan.

“Pencapaian membanggakan ini membuktikan bahawa bukan sahaja Perodua, tetapi Malaysia mampu mengangkat martabat dan harakat negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, walaupun berdepan kekangan termasuk proses pemindahan teknologi yang tidak selalu lancar, namun kekuatan dalaman Perodua bersama para pendidik dan penyelidik tempatan menjadi pemangkin kejayaan dicapai.

Jelas beliau, perjalanan negara penuh cabaran, namun hari ini semua pihak dapat melihat hala tuju dasar negara yang jelas, permuafakatan yang kuat dan disiplin yang utuh.

Malah tegas beliau, semua elemen baik yang ada pada negara masa ini telah memungkinkan Malaysia mencapai kejayaan yang dahulunya dianggap sukar.

“Kerajaan MADANI memberikan jaminan dan dukungan penuh bahawa kita akan membuka ruang lebih luas kepada anak tempatan untuk lebih berjaya.

“Semoga pengalaman dan kejayaan istimewa seumpama ini boleh menjadi ilham kepada anak-anak muda untuk terus meneroka dan memacu teknologi baharu negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI