Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus mengorak langkah progresif dengan memperkenalkan pendekatan baharu berasaskan teknologi digital dan imersif.
Langkah efektif itu dilaksanakan dalam usaha menarik minat generasi muda, sejajar dengan perkembangan pesat teknologi masa kini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengadakan sesi ‘walkabout’ bagi meninjau pelaksanaan Projek Pembangunan Pusat Pembelajaran Imersif yang dijalankan oleh PNM.
Beliau menegaskan, penggunaan teknologi sebagai medium pembelajaran mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing.
“Projek Pembangunan Pusat Pembelajaran Imersif ini dibangunkan bertujuan untuk memperluas akses kepada sumber maklumat digital,” kata beliau menerusi laman media sosial Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Selain itu kata beliau, tujuan utama projek tersebut adalah menggalakkan penggunaan teknologi sebagai medium untuk memperkukuh perpaduan masyarakat melalui pelaksanaan program literasi digital yang lebih komprehensif.
Projek tersebut di bawah KPN yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas Rolling Plan 5 (RMK-12 RP5).
Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada Inisiatif Belanjawan 2025 di bawah Pendigitalan Khazanah Warisan Negara telah bermula pada 15 Mac 2025 dan disiapkan sepenuhnya pada 28 November 2025. -MalaysiaMADANI
