Perdana Menteri menzahirkan salam takziah seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi Barisan Nasional Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag, yang telah kembali ke rahmatullah, awal pagi tadi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial, menyifatkan allahyarham sebagai seorang tokoh politik yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya masyarakat Sabah.
“Semoga roh allahyarham diampunkan segala dosanya dan ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya. Al-Fatihah,” ujarnya.
Anwar juga mendoakan agar keluarga allahyarham diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini serta semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan yang beriman.
Beliau pada masa sama turut mengenang hubungan persahabatan mereka yang terjalin sejak sekian lama, sambil menyatakan bahawa jasa Allahyarham dalam arena politik negara akan terus dihargai.
Jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas solat Jumaat hari ini.
Allahyarham Bung Moktar meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi seperti dikongsikan anaknya, Naim Moktar di Facebook beliau.
Difahamkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu menghadapi kegagalan buah pinggang selain jangkitan paru-paru dan dimasukkan ke Hospital Gleneagle sejak pagi semalam. – MalaysiaMADANI
