Berita

PM puji penganjuran terbaik program Rancakkan MADANI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan dan pujian berhubung penganjuran program Rancakkan MADANI yang mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat.

Beliau berkata, kejayaan pihak penganjuran berjaya menarik lebih daripada 300,000 orang pengunjung ke program berskala nasional itu merupakan satu pencapaian cemerlang dalam usaha Kerajaan MADANI menyantuni rakyat.

Kata beliau, program selama tiga hari itu dilihat berjaya menjelaskan hasrat kerajaan dengan baik dan menonjolkan semua pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun pentadbiran.

“Hasrat penganjuran acara seumpama ini adalah bertujuan untuk menyantuni seluruh lapisan masyarakat yang berbilang kaum dalam satu program.

“Lebih daripada 300,000 orang pengunjung yang telah hadir memeriah program Rancakkan MADANI ini. Saya hendak beri kredit kepada siapa ni? Tahniah,” kata beliau memuji penganjuran terbaik program Rancakkan MADANI.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup program Rancakkan MADANI yang berakhir pada hari ini.

Hadir sama dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam program yang sama, berlangsung majlis Sesi Townhall Bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Sesi tersebut turut disertai oleh dua Timbalan Perdana Menteri. 

Program Rancakkan Madani dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 bermula 5 hingga 7 Disember dengan pengisian besar-besaran merangkumi pencapaian dasar, inisiatif baharu serta perkhidmatan terus kepada rakyat. -MalaysiaMADANI