Berita, Siaran Media

‘Semua timbalan menteri diharap jaga hubungan dengan semua pihak’ – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh harapan tinggi kepada semua timbalan menteri supaya  memelihara hubungan yang baik dengan semua pihak, bukan sahaja di peringkat kementerian dan agensi, malah seluruh lapisan masyarakat.

Perkara itu dinyatakan ketika menerima  kunjungan timbalan-timbalan menteri yang baharu dilantik di pejabatnya.

“Saya menegaskan kepentingan untuk terus memelihara hubungan yang baik dengan semua pihak, bukan sahaja di peringkat kementerian dan agensi, malah merangkumi seluruh lapisan masyarakat.

“Amanah dan tanggungjawab yang dipikul ini perlu digalas sebaik-baiknya agar setiap dasar dan polisi Kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.

Tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan aspek komunikasi perlu diberi keutamaan tinggi dan diperkasakan secara berterusan supaya maklumat yang disampaikan jelas, tepat dan sampai ke semua lapisan masyarakat.

Malah perkara berkenaan katanya selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan keterangkuman dan kebertanggungjawaban.

Rabu lalu, tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini, susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani.

Pada masa sama, lapan timbalan menteri yang baharu dilantik turut mengangkat sumpah jawatan susulan pengumuman menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio, berikutan kekosongan dalam Kabinet Kerajaan MADANI dan keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian. – MalaysiaMADANI