Berita

Orang ramai mula membanjiri hari pertama program Rancakkan MADANI

Hari pertama penganjuran Rancakkan MADANI mendapat sambutan hangat daripada pengunjung apabila orang ramai mengambil kesempatan hadir ke Dataran Putrajaya seawal pagi.

Meskipun beberapa lokasi di ibu kota dan Lembah Klang dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat pada Khamis, namun ia tidak menghalang orang ramai membawa ahli keluarga menyertai pelbagai program dan aktiviti yang disediakan.

Cuaca baik pada awal pagi di Putrajaya membolehkan penduduk di kawasan sekitar dan surirumah memanfaatkan masa terluang menikmati kemeriahan program berskala nasional ini yang akan berlangsung sehingga Ahad.

Selain pameran, perkhidmatan daripada agensi kerajaan serta lokasi menjamu selera yang banyak, pelbagai program santai dijalankan bersama pengunjung.

Pada hari pertama penganjuran, orang ramai mengambil kesempatan berkunjung ke beberapa ‘lokasi panas’ yang telah dijangka menjadi tumpuan utama.

Perkhidmatan tukar minyak hitam serta pertukaran topi keledar secara percuma ternyata menjadi lokasi tumpuan apabila diserbu pengunjung sejak awal pagi.

Selain itu, pengagihan sejuta biji benih secara percuma antaranya kelapa pandan dan jambu turut mendapat perhatian luar biasa daripada pengunjung.

Seperti biasa, program Jualan Rahmah MADANI tetap menjadi lokasi tumpuan pengunjung bagi mendapatkan bekalan barang keperluan harian dengan harga lebih murah.

Lokasi reruai yang tidak kurang juga mendapat perhatian utama pengunjung adalah perkhidmatan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menawarkan diskaun sama sehingga 50 peratus.

Bukan sahaja anak kecil, golongan dewasa juga terpaku dengan pameran aset dan persenjataan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila pelbagai varian kereta kebal dibawa ke Dataran Putrajaya.

Persembahan anjing Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan buskers artis tempatan memeriahkan lagi kerancakan Rancakkan MADANI yang bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam. -MalaysiaMADANI