Bersempena tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta sambutan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, Jabatan Muzium Malaysia menawarkan kemasukan percuma ke Muzium Negara kepada semua warganegara pada hujung minggu ini.
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu bertujuan menggalakkan masyarakat khususnya golongan muda dan keluarga mengetahui secara lebih dekat sejarah tanah air serta menghargai warisan yang membentuk identiti negara.
“Muzium Negara menempatkan empat galeri utama yang memaparkan keseluruhan perjalanan sejarah Malaysia merangkumi era prasejarah, kesultanan Melayu, penjajahan dan pembangunan negara moden.
“Pelawat boleh merujuk laman rasmi Muzium Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai galeri dan pameran,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemahaman sejarah merupakan asas penting dalam memupuk perpaduan, memperkukuh nilai kebangsaan dan mempertingkat rasa kebersamaan rakyat Malaysia.
“Usaha membuka akses percuma diharapkan memberi peluang lebih luas kepada masyarakat untuk kembali menyelami akar sejarah negara,” ujarnya.
Justeru, beliau mengajak orang ramai tidak melepaskan peluang dan beramai-ramai mengunjungi Muzium Negara yang dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang. – MalaysiaMADANI
