Berita

Keharmonian negara disokong dasar adil, tiada ruang kebencian -PM

Bagi menyantuni masyarakat pelbagai kaum di negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Jamuan Teh Krismas bersama komuniti setempat di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam suasana yang mencerminkan keharmonian sebenar Malaysia, Perdana Menteri berkata, situasi tersebut jauh berbeza daripada naratif sempit yang digerakkan oleh kelompok perkauman dan pelampau agama.

Tegas beliau, di sebalik segala perbezaan dan kerumitan, Malaysia kekal sebagai negara yang aman dan makmur. 

“Keamanan ini hanya akan berkekalan jika disokong oleh dasar yang adil kepada setiap rakyat, tanpa memberi ruang kepada kebencian dan sikap pelampau untuk berakar,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Sementara itu berhubung soal pendidikan, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pendekatan kerajaan bukan bersifat ‘zero sum game’. 

Jelas beliau, Bahasa Melayu perlu kekal sebagai teras nasional, di samping keperluan menguasai bahasa Inggeris serta memberi ruang kepada bahasa lain termasuk pendidikan Cina dan UEC atau bahasa Arab, tanpa mencetuskan kegelisahan atau salah faham.

Pada masa sama menurut beliau, menjadi satu kebimbangan melihat kebejatan nilai dan moral dalam politik, masyarakat dan kepimpinan dunia hari ini. 

Untuk itu menurut beliau, agama dan kepercayaan tidak boleh terhenti sebagai slogan atau simbol, sebaliknya mesti menjadi suara nurani yang berani menentang rasuah, ketidakadilan, penindasan dan sikap membiarkan kezaliman berlarutan.

Beliau berkata, peranan pemimpin agama dan badan keagamaan amat penting sebagai rakan dialog serta benteng nilai masyarakat. 

Justeru itu kata beliau, kerajaan memperuntukkan RM200,000 kepada Persekutuan Kristian Malaysia bagi menyokong usaha memupuk kefahaman, keharmonian antara agama serta pengukuhan nilai moral dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Malaysia hanya akan melangkah jauh jika kita berpegang teguh pada keadilan, ihsan dan prinsip kemanusiaan, serta berani mengurus perbezaan secara adil dan bertanggungjawab. Inilah semangat MADANI yang menjadi asas kekuatan negara.” ujar beliau. -MalaysiaMADANI