Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan pelantikan dirinya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baharu adalah satu amanah besar khususnya ketika Malaysia berdepan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Selain dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan lanskap perdagangan dunia serta perkembangan teknologi.
Menerusi kenyataan, Johari menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan serta amanah yang diberikan kepadanya.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara.
“Keyakinan pelabur diperkukuh, serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai rombakan kabinet kerajaan Madani dengan Johari bertukar portfolio dari Kementerian Perladangan dan Komoditi sebelum ini.
Dalam pelantikan baharu ini, Timbalan Menteri MITI akan disandang oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang juga muka baru dalam pelantikan kali ini.
Sebelum ini, MITI diterajui oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. – MalaysiaMADANI
