Khazanah negara mempunyai nilai sejarah besar seperti bangunan Seri Negara akan terus dipelihara sebagai warisan bangsa yang perlu dipertahankan sebaiknya.
Menghargai sejarah yang ada pada bangunan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri dan merasmikan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara.
Beliau berkata, Seri Negara merupakan satu monumen yang menyaksikan beberapa nukilan bersejarah dalam usaha panjang pembentukan negara bangsa.
“Dalam ucapan, saya maklumkan bahawa penguasaan teknologi baharu adalah penting sebagai pemacu kemajuan negara.
“Namun begitu, ia mesti dilaksanakan seiring dengan usaha memperkukuh jati diri bangsa, mengangkat sejarah serta memelihara warisan budaya tempatan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Tegas beliau, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah seperti Seri Negara selain Projek Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL), mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk menghidupkan semula aset warisan negara.
Ini kerana kata beliau, bukan sahaja sebagai pemangkin ekonomi, usaha itu juga bertindak sebagai pemerkasaan komuniti dan pembinaan identiti kota.
Menurut beliau, inisiatif seumpana itu bukan gebang kosong atau sekadar usaha fizikal memelihara tinggalan sejarah, tetapi sebahagian daripada visi besar untuk membentuk sebuah bandar raya yang bersih, maju, mesra alam dan berjiwa.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan pembangunan bandar di negara ini tidak melahirkan kota yang ‘gersang budaya’.
“Sebaliknya ia berkembang sebagai persekitaran yang lestari, hijau seraya berpaksikan nilai kemanusiaan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
