Berita

Hari pertama Rancakkan MADANI catat 127,611 pengunjung

Seramai 127,611 orang pengunjung direkodkan hadir pada hari pertama program Rancakkan MADANI yang berlangsung di Dataran Putrajaya.

Jumlah tersebut boleh dianggap satu angka yang cukup besar memandangkan ia dicatatkan pada hari bekerja.

Jumlah kehadiran pengunjung dijangka akan menjadi lebih ramai pada hari kedua dan ketiga program iaitu Sabtu dan Ahad, berdasarkan ia hari cuti atau kelepasan bekerja.

Sementara itu, cuaca baik pada hari kedua program Rancakkan MADANI membolehkan pengunjung yang hadir berehat santai bersama ahli keluarga sambil melakukan pelbagai aktiviti menarik. 

Menerusi segmen Piknik Harmoni, orang ramai boleh berehat sambil menikmati hidangan pagi di dalam khemah disediakan di Zon Chill Area Kanak-Kanak, Dataran Putrajaya.

Apa yang menarik, kumpulan pengunjung disediakan dengan tikar dan bakul makanan yang diisi makanan berat, snek, buah-buahan, kuih muih, air mineral serta teh ‘O’ panas.

Sesi pertama Piknik Harmoni bermula jam 8.00 pagi, manakala sesi kedua pada jam 6.00 petang akan turut disediakan dengan kelengkapan makanan dan minuman yang sama.  

Piknik Harmoni akan turut dianjurkan pada Ahad iaitu hari ketiga program Rancakkan MADANI, bermula jam 8.00 pagi. 

Bagi memeriahkan lagi suasana pagi yang ceria, aktiviti mewarna dan puzzle disediakan khusus untuk anak-anak. -MalaysiaMADANI