Jika selalunya hanya melihat menerusi televisyen, kali ini orang awam boleh menyaksikan kehebatan aset ketenteraan negara di depan mata.
Bukan sahaja di hadapan mata, orang ramai juga diberi peluang memegang aset canggih milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya mesingan, meriam tangan dan berada dalam kereta kebal.
Semua ini boleh dirasai sendiri dengan mengunjungi Pameran Aset Pertahanan ATM di program Rancakkan MADANI, Dataran Putrajaya yang bakal berlangsung sehingga Ahad.
Selain pameran pelbagai aset ketenteraan, aksi pertunjukan anjing perang turut mendapat sambutan hangat daripada orang ramai kerana ia jarang dipertonjolkan kepada umum.
Pavilion Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjadi tumpuan dengan pengalaman ketenteraan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Selain menyaksikan pameran aset canggih, pengunjung juga berpeluang bergambar bersama pasukan khas, Survival Village, Hospital Medan serta menikmati persembahan Buskers ATM yang memukau.
Rata-rata pengunjung begitu teruja melihat demonstrasi eksklusif seperti Tempur Tanpa Senjata, Kawad Senyap, Abseiling GGK, Army Warrior Challenge (AWC), Drumliner, Gun in Action serta demonstrasi Fast Roping & SpieRIG PASKAU.
Menerusi program Rancakkan MADANI, pengunjung juga berpeluang melihat pameran aset pertahanan dan keselamatan daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti JBPM, APMM, NADMA, JKDM, APM dan KPDN.
Kesemua aset ini digunakan dalam operasi keselamatan, penyelamatan, penguatkuasaan dan pengurusan bencana.
Pameran seumpama ini membolehkan orang awam memahami dengan lebih jelas fungsi setiap peralatan yang digunakan oleh pasukan keselamatan dalam melindungi rakyat dan negara. -MalaysiaMADANI
