Berita, Siaran Media

18 buah rumah mangsa letupan gas letupan Putra Height siap dalam masa 6 bulan – KPKT


Seramai 18 keluarga mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di jalan Putra Harmoni, Putra Height, Subang Jaya akhirnya menarik nafas lega apabila kediaman mereka  berjaya di baik pulih dan dibina semula sepenuhnya.

Majlis Penyerahan Kunci disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Tapak No. 8 Projek Kg. Kuala Sungai Baru, Putra Heights, sebagai sebahagian daripada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025. 

Kor Ming dalam kenyataan memaklumkan, projek pemulihan itu dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan peruntukan keseluruhan RM4.85 juta, 

“Projek ini dilaksanakan secara cekap selama enam bulan bermula 30 April 2025, pelantikan rasmi SPNB pada 7 Mei 2025, dan permulaan pembinaan pada 3 Jun lalu memastikan mangsa dapat kembali mendiami rumah yang selamat, stabil dan selesa dalam tempoh singkat.

“Kecekapan pelaksanaan ini membolehkan mangsa kembali ke kediaman yang selamat, stabil dan selesa dalam tempoh singkat,” katanya.

Dalam majlis sama, Kor Ming turut mengumumkan pencapaian cemerlang Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dilaksanakan oleh SPNB.

Pelancaran Aplikasi MyRMR menjadi sorotan, dengan dua modul utama iaitu pemohon dan pegawai SPNB bagi memudahkan proses permohonan, pemantauan dan pengurusan program secara digital.

Untuk rekod, SPNB berjaya melepasi sasaran asal pembinaan 23,000 unit RMR bagi tahun ini dengan peruntukan RM1.92 bilion.

Kerajaan MADANI kemudian menambah peruntukan kepada RM2.13 bilion untuk membina 26,272 unit RMR, demi menampung keperluan perumahan rakyat berpendapatan rendah.

Sehingga Oktober 2025, sebanyak 74,957 unit RMR telah berjaya disiapkan di seluruh negara.

“Kejayaan menyiapkan rumah mangsa kebakaran Putra Heights serta pencapaian memberangsangkan Program RMR menjadi bukti komitmen berterusan KPKT dan SPNB dalam memperkukuh agenda perumahan negara.

“SPNB akan terus memastikan penyediaan perumahan berkualiti dan mampu milik diberikan keutamaan, demi menjamin setiap keluarga menikmati kehidupan lebih sejahtera dan selamat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.- MalaysiaMADANI